KKBS adakan Majlis Bertadarus Al-Quran



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan





KAMPUNG PULAIE, Jumaat, 27 Februari. – Dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Bertadarus Al-Quran di Masjid Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.


Majlis ini dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pusat Sejarah Brunei (PSB) dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid, Masjid Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.


Majlis Tadarus Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara beramai-ramai yang diketuai oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.


Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bergilir-gilir serta disusuli dengan bacaan Doa Khas bagi Kesihatan dan Kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang dibaca oleh Imam Tingkat I, Masjid Kampung Pulaie, Awang Muhammad Arif bin Haji Johari.


Majlis ini diteruskan lagi dengan penyampaian wakaf kepada Imam Masjid Kampung Pulaie dan diakhiri dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah.


Turut hadir, Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah bahagian dan jabatan, pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya dan para jemaah Masjid Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.


Majlis Tadarus Al-Quran merupakan antara program keagamaan tahunan yang diadakan pada setiap bulan Ramadan yang diungkayahkan oleh KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memperkukuhkan penghayatan terhadap Al-Quran di samping mengeratkan tali silaturahim dalam kalangan para pegawai dan kakitangan kementerian serta jemaah masjid dan seterusnya bagi meraih keberkatan serta ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala sepanjang bulan yang penuh rahmat ini.


Close